Polis Rampas Ubat Kuat RM46,000



SHAH ALAM: Tiga lelaki dan tiga wanita membabitkan dua pasangan suami isteri, seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Myamnar dipercayai pengedar dadah dan ubat kuat aktif sekitar Lembah Klang ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah teres di Setia Alam, di sini, Isnin lalu.
Serbuan pada jam 2 petang itu dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam dan Klang Selatan yang menjalankan intipan selama sebulan itu dan merampas 600 gram dadah jenis heroin, sembilan peket syabu seberat 145 gram dan 50 pil Eramin 5 yang dianggarkan bernilai RM46,000. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Asisten Komisioner Nordin Kadir, berkata polis turut merampas peket plastik kosong, alat penimbang dan alat pembungkus dipercayai digunakan suspek untuk membungkus dadah sebelum diedarkan kepada penagih di Lembah Klang. Katanya, semua suspek berusia 19 hingga 30 tahun dan dua daripada suspek bekerja sebagai pembantu restoran berhampiran manakala empat lagi suspek tiada pekerjaan. “Heroin yang dirampas daripada suspek dipercayai boleh dijual kepada 20,000 penagih dan ini angka besar yang boleh memudaratkan orang ramai.

“Siasatan awal polis mendapati, tiga daripada suspek mempunyai rekod berkaitan jenayah dan dadah beberapa tahun lalu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.
Nordin berkata, semua suspek kini direman sehingga 16 Januari untuk siasatan lanjut dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menyerbu sebuah apartmen di Subang Jaya dan merampas ubat kuat dan 12 ketulan mampat daun kering yang disyaki ganja, Rabu lalu.

Serbuan pada jam 2 pagi itu, polis turut menahan lima lelaki warga Nigeria di dalam rumah berkenaan dan empat daripada mereka mendakwa pelajar sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur dan seorang lagi masuk ke negara ini sebagai pelancong.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...